Thursday, April 8, 2021

BBM3410-2021-MINGGU 3-CELIK BAHASA ISYARAT




KREDIT TO : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MALAYSIA
LINK : https://www.youtube.com/watch?v=-h5hlplln24





            Dewan Pustaka dan Bahasa telah menganjurkan satu rancangan iaitu Rancangn Sembang Tamu: Celik Bahasa Isyarat. Rancangan ini dianjurkan secara live di Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. Rancangan Sembang Tamu : Celik Bahasa Isyarat menampilkan Prof Normaliza Abd Rahim sebagai tetamu. Prof Normaliza Abd Rahim telah berkongsi pengalaman beliau mempelajari bahasa isyarat. Perkara menarik yang dikongsikan oleh Prof Normaliza ialah beliau memberitahu bahawa beliau mempelajari bahasa isyarat melalui Twitter selama 2 bulan sahaja. Dalam umur 60 tahun, semangat Prof Normaliza untuk mempelajari ilmu yang baharu sangat menginspirasikan saya sebagai seorang anak muda. Umur bukanlah penghalang untuk kita menuntut ilmu.  Selain itu, Prof Normaliza juga menggunakan bahasa  isyarat bersama keluarganya untuk mendidik mereka akan kepentingan bahasa isyarat kepada orang biasa. 

            Bahasa isyarat merupakan suatu ilmu yang baik untuk dipelajari oleh semua masyarakat bukan sahaja orang kurang upaya pekak dan bisu. Hal ini demikian kerana, bahasa isyarat merupakan bahasa global yang boleh diguna pakai di seluruh dunia. Banyak kelebihan yang diperoleh sekiranya orang biasa mempelajari bahasa isyarat. Misalnya, Prof Normaliza juga ada mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak mahu bercakap pada hari itu, dia boleh menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan orang lain. Bukan itu sahaja, bahasa isyarat juga boleh digunakan sekiranya seseorang mengalami sakit tekak atau hilang suara.

            Pada pandangan saya, bahasa isyarat wajar dijadikan subjek yang perlu dipelajari di setiap institusi pendidikan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, pelajar boleh mempelajari bahasa isyarat tanpa rasa malu. Tambahan pula, dengan mempelajari bahasa isyarat di peringkat sekolah atau di universiti, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak akan merasa terasing dan tersisih daripada golongan biasa yang sempurna pendengaran dan percakapan. Golongan orang kurang upaya pekak dan bisu juga boleh bersama membantu orang biasa untuk mempelajari bahasa isyarat. Dengan itu, golongan orang pekak dan bisu akan berasa selesa untuk berkomunikasi dan bergaul dengan kelompok masyarakat biasa.

            Selain itu, majikan boleh mengambil golongan orang pekak dan bisu dalam pekerjaan. Misalnya, terdapat sebuah restoran makanan segera yang mengambil pekerja daripada golongan pekak dan bisu untuk bekerja. Hal ini agar mereka tidak berasa asing dalam kelompok masyarakat biasa. Selain dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka, saya yakin bahawa pelanggan yang berkunjung ke restoran makanan tersebut juga dapat mempelajari sedikit sebanyak bahasa isyarat yang mudah.

            Terdapat banyak ilmu yang saya peroleh daripada perkongsian Prof Normaliza berkenaan bahasa isyarat. Secara tidak langsung, saya juga mempelajari bahasa isyarat ketika menonton rancangan tersebut. Prof Normaliza mengajar saya dan penonton untuk membuat beberapa bahasa isyarat. Sebagai contoh, sapaan assalamualaikum dan waalaikumussalam, huruf dan sebagainya. Saya telah terinspirasi daripada rancangan tersebut untuk mempelajari bahasa isyarat kerana bahasa isyarat merupakan suatu bahasa yang unik dan menarik untuk dipelajari.

Terima kasih.



Kehadiran Minggu 3 Amali
8  April 2021 ✔



Kehadiran Minggu 3 Amali
8  April 2021 ✔


No comments:

Post a Comment